Search Our Site

enarzh-CNfrdejakoms

hub2.0

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) membuka peluang kepada mahasiswa dengan menyediakan platform berniaga dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda.

Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menyempurnakan Majlis Perasmian Program Inkubasi Keusahawanan SBM di Foyer SBM, semalam.

“Satu permulaan yang baik untuk melihat pelajar berjaya dalam bidang perniagaan, pada bulan September nanti hub ini dijangka siap sepenuhnya dan pelajar boleh berniaga dengan lebih selesa.

“Kita mahu bila masuk SBM pelajar sudah ada syarikat perniagaan berdaftar dan jadi usahawan sepenuh masa apabila bergraduat.” ucapnya.

Beliau bangga apabila 22 perintis yang mengambil bahagian pada program anjuran Jawatankuasa Hub Perniagaan Pelajar (SBM) ini sudah mula menunjukkan kebolehan tanpa mengira bidang yang diambil.

Selain itu katanya, SBM turut merancang untuk mendaftarkan 1,000 syarikat perniagaan pelajar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mana pendaftaran akan dibuat secara percuma pada September ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hub Perniagaan Pelajar (SBM), Dr. Normalisa Md Isa berkata, keusahawanan merupakan satu bidang yang kini menjadi aspek utama dalam memastikan kemandirian pelajar universiti di seluruh Malaysia.

“Program ini dilaksanakan dalam usaha mempersiapkan para pelajar untuk mempraktikkan apa yang dipelajari semasa di dalam kelas mengenai keusahawanan, pengurusan, perancangan strategi perniagaan dan pemasaran.

“Usaha ini merupakan salah satu kaedah mempromosikan program inkubasi di peringkat pusat pengajian dan universiti selain meningkatkan kesedaran mengenai program keusahawanan di kalangan pelajar dan pensyarah,” jelasnya.

Manakala peserta, Hanis Zafirah Ramli menyifatkan, program ini sebagai medan kepada pelajar menimba ilmu yang bermanfaat dalam memahami selok-belok berniaga.

Ujarnya, perkara paling penting dalam berniaga adalah minat kerana bakat dan kemahiran boleh dipupuk tetapi tanpa minat, perniagaan tidak akan berjaya atau kurang menyerlah.

“Berfikirlah sebebasnya kerana tiada halangan dalam kreativiti, buka minda, selalu peka dengan peluang yang datang tanpa kita sedari dan pantas dalam melakukan tindakan bukannya sekadar memberi cadangan,” luahnya yang pernah mendapat hasil jualan hampir RM4,000 setiap bulan.

Pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan ini menjual pelbagai jenis produk yang kini lebih fokus kepada makanan seperti Kek Coklat Moist dan Munif Cocoa.

“Bagi saya apa yang paling diperlukan oleh pelajar untuk berjaya adalah bimbingan, mentor dan sokongan yang tidak pernah putus kerana bagi pelajar, kami mengalami masalah kewangan selain kurang ilmu tentang bagaimana mengembangkan atau memulakan sesuatu perniagaan mengikut kaedah yang betul.

“Jadi kami perlukan bimbingan, tunjuk ajar, bantuan modal untuk memudahkan kami memulakan perniagaan seterusnya berjaya dalam perniagaan,” ulasnya yang menceburi perniagaan hampir 3 tahun lalu.

Justeru Hanis menyambut baik hub perniagaan SBM yang mendedahkan dunia perniagaan kepada para pelajar yang menjadi salah satu tempat real praktikal sekali gus meningkatkan keyakinan pelajar untuk menceritakan produk yang dijual kepada orang ramai.

“Kami bekerja secara berkumpulan dan bergilir-gilir menjaga gerai mengikut masa tertentu bergantung pada waktu kuliah demi meningkatkan perniagaan yang dijalankan,” ujarnya.

Contact us

School of Business Management (SBM), College of Business,
Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA.
Phone: +604-9287401  
Fax: +604-9287422  
Email: sbm@uum.edu.my