Search Our Site

enarzh-CNfrdejakoms
Mok Cun ceria menyampaikan sesi Mai Nak Habaq Cara-Cara Produk Kampung Boleh Pi Pasaran Digital, Tips Packaging Hebat Nampak Mahai & Customer Suka oleh Shahrizal Saidin disusuli Dari Pasar Pagi Ke Pasar Digital, Apa Rahsianya oleh Anne Idris.
 
Itu antara panel hebat yang dibawakan khas oleh Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama  Malaysia Digital Economic Corporation (MDEC) sempena program eUsahawan Village – Jom Niaga Guna e-Commerce di Dewan SAC, UUM, Sintok, Kedah. Di hadiri lebih daripada 200 Usahawan tempatan, pengisian menarik antaranya sesi perkongsian kaedah berniaga secara digital melalui platform eCommerce diikuti dengan sesi Business Pitching bersama panel juri gabungan agensi kerajaan seperti MARA, MADA, FAMA, MARA dan TEKUN. Program kemudiannya di teruskan dengan sesi Onboarding eCommerce melalui platform marketplace MyBazar.
 
Menurut Ketua Program eUsahawan, Sharifah Nur Izma Syed Izadin, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan yang mempunyai visi membawa produk tempatan ke pasaran yang lebih luar melalui platform eCommerce. Ujarnya, usahawan yang terpilih akan melalui bengkel yang memberi penekanan kepada pembangunan produk, penjenamaan dan pembungkusan.  “Kalau usahawan masih buat cara lama, masih mengikut arus lama dan tidak didedahkan dengan dunia digital mereka akan ketinggalan sedangkan bila masuk dunia digital jualan akan meningkat sehingga tidak menang tangan. “Mentor-mentor seperti Mok Cun, Anne Idris dan Shahrizal akan membantu usahawan mengenalpasti kelemahan dan kekurangan perniagaan, potensi sebenar perniagaan dan  peserta yang terpilih akan menyertai kelas mentoring bersama Mok Cun selama 3 bulan,” jelasnya.
 
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkongsi kuasa sedekah yang boleh merancakkan lagi perniagaan para usahawan. “Biar sederhana tapi hebat hubungan kita dengan manusia dan ibu bapa, dalam perniagaan macam-macam boleh berlaku tapi kalau kita berkawan dengan baik, selalu sedekah, Allah akan bantu kita.
 
“Yakin dan terus melangkah, janji dengan Allah, ya Allah sekiranya aku berjaya akan aku berikan sebahagian yang aku miliki untuk agamamu, akan aku bela orang susah dan berkongsi segala ilmu yang aku miliki yang Kau pinjamkan nanti dengan mereka ya Allah.
 
“Perjalanan hidup kita tidak lama, jadikan perniagaan sebagai ibadah, bila kita jadikan perniagaan sebagai ibadah kita tidak akan sesekali mengkhianati perniagaan kita dan orang yang berurusan dengan kita. Tetapi jika kita menjadikan perniagaan sebagai platform untuk perdaya manusia kita mungkin berjaya tapi sesungguhnya kita sedang menempah jalan yang sukar,” luahnya.
 
Kongsinya, untuk melahirkan seorang usahawan, bukanlah sesuatu perkara yang mudah, cabaran ini menjadi semakin hebat dengan keadaan ekonomi global yang tidak stabil pada ketika ini. “Jadi, kita bukan sahaja menumpukan kepada inisiatif untuk melahirkan usahawan semata-mata tetapi apa yang lebih penting memastikan setiap usaha ke arah pembentukan usahawan yang mampu berdaya saing, berjaya mencapai kumpulan sasar yang tepat,” ucapnya yang merasmikan majlis.
 
Jelasnya, melalui program ini, para usahawan dilatih dan diterapkan ilmu berkenaan selok-belok perniagaan melalui kaedah knowledge and technology transfer agar mereka dapat memanfaatkan kepakaran tenaga profesional serta   prasarana yang ada di UUM. “Dalam usaha memajukan diri kita, potensi bukan lagi di kampung justeru kita harus memanfaatkan teknologi di era Revolusi Industri 4.0. SBM turut menyediakan pelbagai latihan dan kursus jangka pendek dalam bidang keusahawanan dan pengurusan perniagaan yang dapat membantu menambah nilai kepada perniagaan."
 
“Saya berdoa agar jaringan kolaborasi strategik antara SBM, MDEC serta agensi seperti MADA, FAMA, MARA, TEKUN, dan KEDA dapat dijadikan titik mula kepada banyak lagi usahasama ke arah pembentukan budaya keusahawanan,” tambahnya.

Contact us

School of Business Management (SBM), College of Business,
Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA.
Phone: +604-9287401  
Fax: +604-9287422  
Email: sbm@uum.edu.my