Search Our Site

enarzh-CNfrdejakoms

UMT2

SBM ONLINE: Pada 5 April 2018 yang lalu, 76 pelajar jurusan pemasaran bersama seorang pensyarah pengiring dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengadakan lawatan ke Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena aktiviti kelab anjuran Kelab Pemasaran (MarC), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM). Lawatan selama tiga hari dua malam itu disambut mesra oleh 40 ahli Kelab Pemasaran.

Aktiviti dimulakan dengan sesi memperkenalkan UUM kepada delegasi UMT yang bermula di Anjung Tamu pada jam 8.30 pagi. Para pelajar UMT diberi taklimat ringkas dan mesra oleh kakitangan Anjung Tamu mengenai UUM. Rombongan seterusnya di bawa ke Bilik Kedah, SBM untuk aktiviti bersama staf akademik bidang Pemasaran. Ketua Jabatan Pemasaran, Dr. Norzieiriani Ahmad dan beberapa pensyarah pemasaran lain menyambut mesra kedatangan delegasi UMT bersama hidangan Nescafe.

Hadir sama bagi memeriahkan lagi majlis ialah Dekan SBM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah, yang memulakan ucapan mengalu-alukan kedatangan semua delegasi. Prof Dr Haim Hilman turut memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada semua yang hadir untuk terus belajar bagi mengapai impian masing-masing. Beliau tidak jemu menasihatkan pelajar agar bersungguh-sungguh menimba ilmu dan memberikan yang terbaik demi mencapai kejayaan sekaligus dapat memberikan kegembiraan kepada ibubapa dan membalas jasa mereka. Majlis ini juga diserikan dengan sesi soal jawab dan diskusi mengenai peluang kolaborasi antara UMT dan SBM, UUM di masa hadapan.

Sebaik selesai aktiviti ini, rombongan ini meneruskan aktiviti dengan mengadakan lawatan ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan Bangunan Canselori. Selepas solat Zohor, para pelajar UUM dan UMT mengadakan aktiviti berkumpulan seperti LDK, Ice Breaking dan Explore Race. Rombongan UMT berangkat pulang pada keesokkan harinya selepas melawat Pokok Tiga Beradik dan Pusat Ekuastrian.

-TAMAT-

Contact us

School of Business Management (SBM), College of Business,
Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA.
Phone: +604-9287401  
Fax: +604-9287422  
Email: sbm@uum.edu.my