Search Our Site

enarzh-CNfrdejakoms

Bersempena dengan Minggu Suaikenal Pelajar Baharu Semester Kedua Sesi 2016/2017 (A162) sepanjang 6 hingga 8 Februari 2017, telah berlangsungnya Program Bersama Pusat Pengajian pada 7 Februari 2017 bertempat di DKG 2/1. Bagi sesi  kemasukan kali ini, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) menerima kemasukan 71 pelajar Sarjana Muda terdiri daripada 68 pelajar tempatan dan tig (3) orang pelajar antarabangsamelalui pilihan empat (4) program pengajian iaitu Pentadbiran Perniagaan (38 pelajar), Pengurusan Sumber Manusia (10 pelajar), Pemasaran (15 pelajar) dan Keusahawanan (8 pelajar).

Program Bersama Pusat Pengajian ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai operasi pusat pengajian dan kursus-kursus yang perlu diambil bagi melengkapkan keperluan program pengajian mereka. Taklimat berkenaan Pusat Pengajian telah disempurnakan oleh YBrs. Dekan, Prof. Dr. Haim Hilman bin Abdullah. Beliau turut mengalu-alukan kedatangan para pelajar baharu ke UUM amnya dan SBM khasnya.

“Adalah menjadi iltizam dan usaha pihak SBM untuk menjayakan visi dan misi universiti dengan menekankan kepada kreativiti dan inovasi dalam semua aspek pengurusan agar dapat memberi impakyang besar terhadap pembangunan holistik pelajar serta menghasilkan graduan yang cemerlang”, ujar Ybrs. Prof. Dr. Haim Hilman bin Abdullah dalam ucapan beliau.

Dekan turut memberi penekanan agar pelajar mempunyai  best attitude dan kemahiran komunikasi yang baik, khususnya dalam Bahasa Inggeris. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Dekan memaklumkan bahawa SBM akan mengadakan pelbagai program untuk membantu para pelajar, antaranya program mentor-mentee dan English Proficiency Enhancement Programme. Beliau juga menegaskan dengan adanya akreditasi AACSB, pelajar wajar menggunakan kelebihan tersebut untuk memasarkan diri dalam industri besar dan berpengaruh setelah menamatkan Pengajian kelak.

Dalam majlis tersebut, Dekan memperkenalkan semua penjawat SBM dan warga akademik yang terdiri daripada kalangan Profesor, Profesor Madya, Pensyarah Kanan dan Pensyarah serta staf-staf pentadbiran SBM yang hadir.  Salah seorang pelajar baharu Loshene A/P Selvam daripada program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, menyatakan beliau amat bermotivasi untuk memulakan pengajian setelah mendengar amanat Dekan.

Program diteruskan dengan Dialog Bersama Alumni yang mana Chung Muh Sha telah dipilih untuk mengisi slot tersebut.  Beliau kini berkhidmat dengan Oscar Wealth Advisory selaku Perancang Kewangan. Slot ini menjadi platform untuk perkongsian pengalaman antara alumni dengan pelajar dalam pelbagai aspek terutamanya pengurusan masa dan kewangan, pembentukan sahsiah diri dan watak serta bidang kerjaya. Pengalaman yang dikongsikan diharap dapat digunakan sebagai panduan dan dijadikan inspirasi oleh para pelajar. Besar harapan pihak SBM agar sesi dialog ini dapat membantu memperkukuhkan lagi keyakinan, menyalurkan semangat dan menyemai budaya esprit de corps seperti mana yang diingini pihak universiti.
 

Terima kasih dan syabas diucapkan kepada semua kakitangan SBM yang telah bertungkus lumus menjayakan urusan aktiviti sepanjang Minggu Suaikenal kali ini. Tahniah juga diucapkan kepada semua pelajar baharu yang berjaya dan terpilih untuk menjejakkan kaki ke Universiti Utara Malaysia.

Contact us

School of Business Management (SBM), College of Business,
Universiti Utara Malaysia, 06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA.
Phone: +604-9287401  
Fax: +604-9287422  
Email: sbm@uum.edu.my